Anda diserang kudis buta? Pasti malu mengakui kerana bimbang dirasakan pengotor. Buang tanggapan mitos sedemikian! Relakah anda menggaru sepanjang masa malah secara curi-curi demi menjauhi tanggapan buruk sahabat sendiri? Jangan takut, bertemulah doktor kerana anda hanya perlukan minimum 3 hari untuk merawatnya dengan bijak.
Kudis buta atau dalam istilah perubatannya lebih dikenali sebagai scabies merupakan sejenis penyakit kulit yang paling mudah berjangkit. Penyakit ini disebabkan oleh Hama Gatal (betina) Sarcoptes scabies yang mengorek di bahagian lipatan kulit (stratum corneum) dan bertelur di dalamnya. telur ini menetas dalam tempoh 3 hingga 10 hari. Kemudian, ia akan pergi ke kulit berubah menjadi nimfa dan seterusnya menjadi hama dewasa. Hama dewasa boleh hidup pada kulit perumah selama tiga hingga empat minggu. Apabila hama berpindah di dalam kulit, ini akan menyebabkan keadaan yang amat gatal. Kewujudan telur hama boleh menyebabkan tindak balas alahan di mana ia akan menjadikan lebih gatal. Rasa gatal ini paling kerap dialami diwaktu malam kerana ketika itu hama paling aktif.
Hama gatal ini biasanya hanya dapat dilihat melaui mikroskop kerana rupa fizikalnya yang terlalu halus. Menurut Doktor Pakar Kulit, asal kewujudannya tidak dapat dikenalpasti secara spesifik tetapi lebih cenderung menjadikan tilam, katil, permaidani dan tuala sebagai ‘perumah’ sebelum berpindah ke kulit manusia. Hama ini tidak dijangkiti dari haiwan peliharaan kerana ia merupakan kutu yang berbeza. Kutu yang menjangkiti haiwan biasanya tidak mudah menjangkiti manusia.
Diagnosis
Tanda gatal yang teramat sangat dan kewujudan lubang atau bengkak biasanya sudah mencukupi untuk menentukan sama ada dijangkiti kudis buta atau tidak. Untuk memastikan kesahihannya, doktor membuat diagnosis dengan mengorek atau mengikis lubang atau bengkak tersebut. Kemudian spesimen tersebut akan dilihat di bawah mikroskop untuk melihat kewujudan sebarang jenis hama.
Gejala Kudis Buta
Rasa gatal pada bahagian yang berjangkit dan paling maksimum dirasai di waktu malam. Elakkan dari menggaru kawasan yang gatal kerana bakteria mudah melekat pada kuku dan kemungkinan merebak ke bahagian kulit yang lebih tinggi.
Timbulnya bintik merah, disusuli bintik hitam dan adakalanya menjadi nanah pada kes yang kronik.
Bintik merah yang timbul biasanya satu persatu dan dalam jarak yang jauh antara satu sama lain. Paling mudah dialami pada bahagian lipatan kulit dan jika dibiarkan boleh membengkak dan merebak ke satu badan.
Pesakit biasanya jarang diserang demam ketika dijangkiti kudis buta melainkan berlaku jangkitan lain.
Bahagian-Bahagian Badan yang Dijangkiti
Di bahagian badan, di celah ketiak, di keliling pusat.
Di tangan, keliling sendi lengan dan celah-celah jari.
Pada bayi, boleh juga terdapat di tapak tangan dan tapak kaki.
Di bahagian punggung dan kemaluan. Bagi lelaki, kudis buta lebih mudah menjangkit bahagian telur pada kemaluan.
Di kaki dan celah-celah jari kaki.
Bagaimana Kudis Buta Merebak?
Penyakit ini mudah berjangkit dan akan merebak jika:
Ada perhubungan/pergaulan yang berpanjangan dengan pengidap kudis buta.
Tidur berdekatan dengan penghidap kudis buta.
Tidur beramai-ramai di atas sebuah katil dengan mereka yang menghidap kudis buta seperti di asrama.
Berkongsi tuala, pakaian, kain cadar, sarung bantal dan lain-lain peralatan sendirian.
Kebersihan diri tidak dijaga.
Kaedah Rawatan Kudis Buta
Kudis mudah dirawat tetapi kegagalan mematuhi arahan rawatan dan pencegahannya akan melambatkan proses pemulihan. Ada yang terpaksa menderita selama lebih dari tiga bulan sedangkan ia mampu dirawat dalam tempoh maksimum tujuh hari.
Perkara paling utama setelah dijangkiti kudis buta adalah bertemu dengan doktor. Anda akan diberikan ubat sapu sama ada Benzyl benzoate atau Lindane mengikut kesesuaian.
Ubat ini jika digunakan dengan betul mampu merawat kudis buta dalam tiga hari. Caranya adalah dengan menyapu ubat berkenaan dari leher hingga ke tapak kaki meliputi semua bahagian kulit walaupun di bahagian tidak dijangkiti.
Setiap pagi dalam tempoh pemakaian ubat, anda hendaklah menukar cadar, sarung bantal, baju dan segala yang anda gunakan di malam hari. Basuh bersih dan jemur di panas mentari. Anda di nasihatkan untuk menggunakan cadar dan selimut yang nipis sepanjang tempoh ini bagi memudahkan kerja mencuci.
Anda juga akan diberikan ubat sokongan seperti antibiotik, ubat tahan gatal, vitamin dan krim untuk membantu menghilangkan kesan parut.
Selepas tempoh tiga hari, anda akan dibekalkan dengan losyen calamine untuk disapu pada waktu siang. Kemudian, bersihkan sofa dan permaidani anda bagi memastikan jangkitan tidak berulang semula.
Bagaimana Cara Mencegah Kudis Buta?
1. Utamakan kebersihan diri. Mandi sekurang-kurangnya dua kali sehari dan gunakan sabun dan air bersih.
2. Segala kelengkapan harian, seperti tuala dan baju hendaklah dijaga dengan bersih dan jagan berkongsi dengan orang lain.
3. Basuh pakaian , cadar, sarung bantal dengan bersih dan jemur dalam cuaca yang panas terik.
4. Tilam dan bantal hendaklah dijemur sekurang-kurangnya sekali seminggu.
5. Buka tingkap supaya cahaya matahari dapat masuk ke dalam bilik.
6. Jaga kebersihan kawasan sekitar rumah.
Orang yang masuk sini cari:
- ubat kudis buta
- kudis buta di kemaluan
- penawar kudis buta
- rawatan scabies
- gatal-gatal dikaki diwaktu malam
- kudis buta hitam
- kudis malam
- cara menghilangkan kudis buta
- gambar kudis buta
- hilangkan parut kudis buta
























