Hasil kajian mendapati wanita hamil yang sering mendengar muzik seperti irama klasik, dodoi yang lembut ataupun suara alam akan kurang mengalami stres sepanjang kehamilan mereka.
Melodi yang mempunyai tempo 60 hingga 80 rentak muzik setiap minit mempunyai persamaan dengan degupan jantung manusia. Penemuaan ini sekali gus dikatakan berupaya memberi rasa lega , tenang dan mengurangkan stress dikalangan wanita hamil.
Para saintis dalam kajian ini telah membahagikan 2 kumpulan wanita hamil. Kumpulan pertama diberi cakera padat muzik dengan irama klasik, dodoi dan alam manakala sekumpulan lagi hanya menjalani proses kehamilan biasa. Kumpulan pertama wanita hamil ini dikehendaki mendengar muzik sekurang-kurangnya satu muzik daripada beberapa cakera padat setiap hari selama 2 minggu.
Mereka hanya perlu mendengar muzik dan membuat catatan rekod mengenai jenis muzik yang dipilih sewaktu mendengarnya. Hasil kajian mendapati reponden memilih mendengar muzik ketika berehat ataupun ingin tidur.
Profesor Chung-Hey Chen dari Universiti Perubatan Kaohsiung, Taiwan yang mengetuai kajian ini mengakui kehamilan adalah satu proses yang unik dan perlu melalui masa yang cukup menegangkan ataupun stres.
Menurut pakar perubatan ini, dalam tempoh sembilan bulan, mereka biasanya terdedah kepada rasa cemas, susah hati dan tertekan disebabkan proses kehamilan mengambil masa yang agak lama.
Bagaimanapun, hasil kajian yang dilakukannya berjaya menunjukkan mendengar muzik yang sesuai dapat mengurangkan stres, cemas, susah hati dan tekanan perasaan sepanjang tempoh kehamilan.
Muzik Klasik Pengaruh Karakter Bayi
Selain ibu hamil, muzik juga dipercayai mempunyai signifikan dengan perkembangan janin di dalam kandungan. Dalam beberapa penelitian didapati muzik juga sesuai disajikan secara khusus untuk janin yang sedang berkembang di dalam kandungan.
Malah ada pakar muzik seperti klasik dapat mempengaruhi karakter seseorang sejak di dalam kandungan lagi. Selain itu, irama muzik juga didapati berupaya untuk merangsang perkembangan otak bayi.
Tidak hanya untuk janin di dalam kandungan, irama klasik juga dikatakan sesuai didengarkan untuk anak-anak yang masih kecil agar mempunyai otak yang lebih kreatif dan kritis.
Para ahli psikologi Amerika Syarikat berpendapat muzik mampu merangsang salah satu bahagian dari otak kita untuk bekerja sesuai dengan jenis muzik, misalnya, muzik dengan irama yang sedikit keras dan cepat (seperti techno) dapat memacu otak kita untuk bekerja atau tampil dengan lebih bersemangat.
Sedangkan muzik yang berirama perlahan seperti muzik klasik dan sejenisnya, terbukti dapat meningkatkan prestasi kerja seseorang secara optimum. Justeru, seperti mana anda mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran ketika hamil, ia juga adalah satu irama yang memberi ketenangan kepada anda dan bayi.
























